Wednesday, January 25, 2012

Tafsir Surah At- Tariq Ayat 1-7

 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Surah At-Tariq (bahasa Arab:الطّارق) adalah surah ke 86 dalam al-Quran. Surah ini tergolong surah Makkiyah yang terdiri atas 17 ayat. Dinamakan At-Tariq yang berarti Yang datang di malam hari diambil dari perkataan Ath Thaariq yang terdapat pada ayat pertama surat ini.

Kandungan surah ini adalah :

1. Tiap-tiap jiwa selalu dipelihara dan diawasi Allah
2. Merenungkan asal kejadian diri sendiri yaitu dari air mani akan menghilangkan sifat sombong dan takabur
3. Allah kuasa menghidupkan manusia kembali pada hari kiamat, pada hari itu tidak ada kekuatan yang dapat menolong selain Allah
4. Al Quran adalah pemisah antara yang hak dan yang batil

 سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

(Dengan nama Allah, Yang Maha Pengash, lagi Maha Penyayang)

[1] Demi langit dan “At-Taariq”; -

[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia “At-Taariq” itu? -

[3] (At-Taariq) ialah bintang yang menembusi (sinaran cahayanya);

[4] Tiada sesuatu jiwa pun melainkan ada malaikat yang menjaga (keadaannya serta menyimpan catitan mengenai segala bawaannya).

[5] (Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.

[6] Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) -

[7] Yang keluar dari “tulang sulbi” lelaki dan “tulang dada” perempuan.

[8] Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati),

[9] Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat, dan lain-lainnya),

[10] Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan).

[11] Demi langit yang berulang-ulang mencurahkan hujan,

[12] Dan bumi yang merekah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan,

[13] Sesungguhnya keterangan Al-Quran adalah kata-kata pemutus (yang sebenar),

[14] Dan bukanlah ia kata-kata yang olok-olok.

[15] Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat,

[16] Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya).

[17] Oleh itu janganlah engkau hendakkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa.

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam tafsir Fizilal Quran Asy-Syahid Qutb rahimahullah berkata : "Surah ini merupakan satu contoh yang jelas dari sifat-sifat Juzuk Amma. Pada senikata ayat-ayatnya terdapat paluan yang keras yang sesuai dengan jenis pemandangan, jenis irama, bunyi kata-kata dan saranan maknanya. Di antara pemandangannya ialah bintang yang muncul di waktu malam, bintang yang cahayanya menembusi angkasa raya, air mani yang memancut, hujan yang turun dan tumbuh- tumbuhan yang tumbuh.

Di antara persoalannya ialah pengawasan Allah di atas setiap jiwa. Persoalan kewujudan Allah, persoalan pentadbiran dan perancangan Ilahi, persoalan ujian dan tanggungjawab, persoalan hisab, balasan dan sebagainya.

Di antara pemandangan-pemandangan alam dan hakikat persoalan yang diperkatakan dalam surah ini terdapat keserasian yang sempurna, halus dan jelas yang dapat dilihat dalam pembentangan surah ini satu dalam penjelasn yang indah.

Tafsiran ayat 1-4 :

Maksudnya : [1] Demi langit dan “At-Taariq”; - [2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia “At-Taariq” itu? - [3] (At-Taariq) ialah bintang yang menembusi (sinaran cahayanya);
[4] Tiada sesuatu jiwa pun melainkan ada malaikat yang menjaga (keadaannya serta menyimpan catitan mengenai segala bawaannya).

Bahagian ini mengandungi satu pemandangan  alam dan satu hakikat keimanan . Ia dimulakan dengan menyebut langit dan bintang yang muncul diwaktu malam, kemudian diiringi dengan pertanyaan biasa dalam pengungkapan al-Quran. Allah bersumpah dengan langit dan bintang-bintangnya yang terang  dan mengemukakan hakikat : "bahawa setiap jiwa" itu di awasi oleh penjaga-penjagannya dengan perintah Allah.

Allah menyebut "jiwa" , kerana jiwalah tempat simpanan rahsia dan fikiran dan pada jiwa juga dihubungkan amalan dan balasan. Manusia yang hidup dibumi ini tidak dibiarkan bebas lepas tanpa penjaga. Mereka tidak dilepaskan  begitu sahaja dalam liku-liku kehidupan tanpa pengawal. Mereka tidak ditinggalkan bebas boleh berbuat apa sahaja tanpa pengawasan, malah kegiatan hidup mereka dirakamlan dengan teliti dan hisab amalan mereka kelak adalah di asaskan di atas catatan-catatan yang hemat dan secara langsung.

Tafsir ayat 5 - 7

Maksudnya : [5] (Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. [6] Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) - [7] Yang keluar dari “tulang sulbi” lelaki dan “tulang dada” perempuan.

Asbabun Nuzul ayat 5 ;

Ikrimah r.a memaparkan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan  Abu Asyadd bin Kaldah al-Jamahi yang berdiri di atas kulit yang telah disamak, "Hai orang-orang Quraisy , siapa yang boleh menggelincirkanku dari tempat ini , ia akan ku berikan hadiah ." tantangannya, "Muhammad mengaku, penjaga neraka itu berjumlah sembilan belas. Aku mampu mengalahkan sepuluh penjaga neraka. Kalian tinggal mengalahkan  sembilan, sisi dari mereka." angkuhnya. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim)

Hendaklan manusia melihat dari bahan apakan dia diciptakan Allah dan kepada rupa apakah ia membentuk? Ia diciptakan dar air mani yang memancut keluar dari antara tulag sulbi lelaki dan tulang dada perempuan. Yakni ia diciptakan dari air yang terkumpul dari tulang sulbi lelaki iaitu rangkaian tulang belakangnya dan dari tulang dada perempuan, iaitu tulang dadanya bahagian atas. Kedua-duanya bertemu di dalam rahim dan dari keduanya terbentuk manusia.

Di sebalik pemandangan sepintas lalu dari gambaran-gambaran pengembaraan yang amat jauh dan aneh di antara titik permulaan air mani yang memancut  dengan titik akhir terbentuknya seorang manusia  yang berakal itu terdapat berbagai-bagai keanehan pada sifat-sifat peralatan-peralatan dan anggota tubuh badan yang tidak terdaya oleh kita untuk mengisahkan semuanya di dalam tafsir ini. Seluruhnya menunjukkan bahawa di sebaliknya dan pentadbiran dan qudrat Ilahi yang menjaga , memelihara, menunjuk dan membantunya, disamping menjelaskan hakikat yang pertama setelah ia bersumpah dengan langit dan bintang sebagai persedian untuk menjelaskan hakikat yang kedua iaitu hakikat kewujudan alam akhirat yang diingkari kaum musrikin yang ditujukan surah ini kepada mereka bagi pertama kali."

Sahabat yang dikasihi,
Surah ini adalah satu surah yang dijelaskan oleh Allah SWT untuk menunjukkan kekuasaan-Nya yang telah menciptakan bintang-bintang yang hebat diangkasa raya dan menciptakan malaikat yang menjadi pencatat dan pengawas kepada jiwa manusia (samaada baik atau buruk) dan Dia menjelaskan bahawa manusia yang diciptakan-Nya daripada air yang hina (air mani). Kenapakah manusia lupa daratan dan mengingkari akan perintah Allah SWT dan menafikan kehidupan di hari akhirat?

Orang mukmin akan menganggap bahawa dirinya adalah hina disisi Allah SWT dan setiap peringatan dalam surah ini  menjadikan hatinya tunduk dan patut kepada Allah SWT dan tidak ragu-ragu untuk beriman dan bertakwa dan menyakini sepenuhnya bahawa kehidupan di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi dan menganggap bahawa di dunia ini adalah tempat melakukan amal ibadah dan amal soleh. Allah SWT adalah Hakim Yang Maha Adil .


2 comments:

teja said...

Assalamualaikum..

Ada tafsiran kalau mimpi membaca surah ni?

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Selanjutnya apa jadi dengan Abu Asyaad itu?