Tuesday, February 14, 2012

Awas! Iblis Akan Memasuki Hati Manusia Melalui Tujuh Pintu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berhati-hatilah dengan bisikan dan godaan iblis laknatullah kerana dia boleh memasuki hati anak Adam melalui tujuh pintu. Pintu-pintu tersebut adalah seperti berikut :

1. Hati yang putus asa dan kecewa dari Rahmat Allah SWT.

2. Hati yang memandang biasa pada dosa-dosa kecil.

3. Hati yang panjang angan-angan dan suka pada pujian.

4. Hati yang bodoh tetapi tidak menyedari akan kebodohannya.

5. Hati yang memandang rendah terhadap orang lain.

6. Hati yang bersifat marah kerana marah adalah sifat bara api neraka.

7. Hati yang ujub, sombong, riak dan buruk sangka pada orang lain.

Huraiannya :

1. Hati yang putus asa dan kecewa dari Rahmat Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Az-Zumar ayat 53)

Setiap manusia yang hidup di dunia ini akan sentiasa di uji oleh Allah SWT.. Ujian Allah SWT datang berbagai bentuk. Ada ujian berupa bala dan musibah, penyakit, kemalangan, gagal dalam peperiksaan dan mencari pekerjaan . Ujian juga datang dalam bentuk perselisihan di dalam keluarga atau mendapat gangguan sihir dan di fitnah .

Manusia sering merasa putus asa dan kecewa kerana gagal mengendali diri dalam kehidupan, kecewa kerana gagal mendidik ahli keluarga, kecewa kerana sering gagal dalam percintaan, kecewa kerana selalu gagal dalam melaksanakan tugasan dipejabat, kecewa kerana gagal mendapat projek-projek mewah atau sederhana mewah malah kecewa kerana diri masih berada di takuk lama (hidup susah) bertahun-tahun walau berbagai cara telah dilakukan.

Di dalam ayat di atas Allah SWT menyeru kepada hamba-hamba-Nya supaya jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Susah dan gagal macamana sekali pun kita dilarang untuk berputus asa dan merasa kecewa.


Putus asa dan kecewa datang dari hati iaitu segumpal daging yang ada di dalam diri kita. ianya berbentuk satu rasa yang mempunyai perkaitan dengan mental, emosi, kerohanian dan fizikal. Apabila seseorang tu putus asa dan kecewa, maka iblis akan masuk dalam hati manusia, beliau tidak dapat berfikir secara waras (mental), emosi mengalami tekanan yang sukar dikawal , semangat menjadi pudar malah berada pada tahap paling rendah dan kesihatan badan juga akan terganggu. Ingatlah Allah SWT sebanyak-banyaknya semoga Dia membarikan kekuatan untuk kembali tenang dan redha dengan qadak dan qadar-Nya.

2. Hati yang memandang biasa pada dosa-dosa kecil.

Iblis akan membisikkan kepada manusia bahawa dosa-dosa kecil ini tidak mengapa jika dibuatnya kerana Allah SWT itu Maha Pengampun. Sehingga orang yang digoda iblis akan terus  melakukannya tidak merasa bersalah dan menganggap perkara itu kecil sahaja.

Sedangkan Nabi SAW pernah bersabda yang maksud :  “Orang yang beriman akan melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula akan melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ulama menjelaskan bahawa sesiapa yang berterusan melakukan dosa-dosa kecil maka dia akan menjadi fasik dan akan jatuh kepada dosa besar. Oleh itu jauhilah semua dosa samaada dosa-dosa besar maupun dosa-dosa kecil dan sentiasalah beristighfar setiap hari semoga dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah SWT.

3. Hati yang panjang angan-angan dan suka pada pujian.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Dalam semua perkara pada anak Adam yang akan menjadikan mereka tua adalah dua perkara : Tamak dan angan-angan." (Hadis Riwayat Bukhari - dalam al-Sahih 11/243 dan Muslim dalam al-Sahih 2/724 no. 1047 dan Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin)

Saidina Ali k.wj berkata: “Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.”

Panjang angan-angan atau banyak berhayal menyebabkab seseorang berada dialam fantasi bukan lagi realiti. Sedangkan ini adalah racun yang berbahaya apatah lagi angan-angan tersebut tidak kesampaian di samping membazir masa sahaja . Lantas, dia sentiasa rugi dalam kehidupannya dan menempuh kehinaan. Sebaliknya mereka yang bercita-cita dan disertakan dengan perlaksanaan mengikut strategi dan buah fikiran yang baik sudah tentu akan mengecapi kejayaan. Angan-angan adalah racun dalam kehidupan dan musibahnya jauh lebih banyak daripada manfaatnya.

Orang yang suka dipuji sebenarnya adalah mereka yang tidak ikhlas beramal kerana amalannya adalah untuk mendapat pujian manusia bukannya mencari kerehaan Allah SWT. Di akhirat nanti amalan seperti ini akan dilemparkan dimuka orang yang beramal tersebut. Iblis akan cuba merosakkan niat manusia supaya niatnya bukan kerana Allah SWT supaya manusia akan masuk neraka bersama-samanya. Nauzubillahiminzalik.

4. Hati yang bodoh tetapi tidak menyedari akan kebodohannya.

Orang yang jahil adalah orang yang paling disukai oleh iblis kerana dengan kejahilan dan kebodohannya amal-amalannya tidak diterima oleh Allah SWT kerana rosak dan tidak betul mengikut hukum syarak.

Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah SAW, "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq".(Hadis Riwayat Ibnu Ady)

Nabi SAW  menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan ini. Ada orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasiq. Sebenarya iblis telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. OIeh kerana itu ia menggunakan beberapa cara yang berlainan kepada orang­-orang yang berlainan pula. Bagi si jahil, iblis selalu menyuruhnya supaya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil itu tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah SWT. Iblis tidak mahu orang jahil itu rajin mengaji kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut akan diterima oleh Allah SWT yang bererti kekalahan di pihak iblis.

5. Hati yang memandang rendah terhadap orang lain.

Sifat suka merendahkan orang lain adalah sifat iblis kerana orang yang melakukan perbuatan ini adalah orang yang sombong. Bagaimana iblis merendahkan kejadian Nabi Adam a.s. yang di ciptakan oleh Allah SWT daripada tanah dan merasa bangga dengan penciptaannya daripada api.

Rasulullah S.A.W turut bersabda, maksudnya, "Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat tawaddhuk sehingga seorang tidak merasa megah terhadap seorang yang lain, dan juga tidak bersikap melampau di antara seseorang dengan seorang yang lain" (Hadis Riwayat Muslim dan Abi Daud)

6. Hati yang bersifat marah kerana marah adalah sifat bara api neraka.

Apabila seseorang marah maka iblis akan membolak- balikkan hati anak Adam seperti bola. Jika marahnya sudah sampai kemuncak maka ketika itu manusia dan hilang pertimbangan akal yang waras dan sanggup melakukan  perbuatan yang tercela sehingga sanggap membunuh atau mencederakan orang lain.

Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : " Sesungguhnya, kemarahan itu berasal dari syaitan. Dan syaitan  tercipta dari api. Dan sesungguhnya, api itu dapat dipadamkan dengan air. Jika salah seorang diantara kalian marah, maka berwuduklah.  (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud,  hadis ini hasan.)

7. Hati yang ujub, sombong, riak dan buruk sangka pada orang lain.

Semua sifat-sifat mazmumah seperti ujub, riak dan buruk sangka pada orang lain adalah pintu-pintu yang memudahkan iblis menguasai hati manusia.

Firaman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri," (Surah Luqman ayat 18)

Al-Fudhail bin Iyadh rahimahullah berkata: “Iblis jika ia dapat melumpuhkan bani Adam dengan salah satu dari tiga perkara ini: ujub terhadap diri sendiri, menganggap amalnya sudah banyak dan lupa terhadap dosa-dosanya. Dia berkata: “Aku tidak akan mencari cara lain.” Semua perkara di atas adalah sumber kebinasaan. Berapa banyak pelita yang padam kerana tiupan angin? Berapa banyak ibadah yang rosak karena penyakit ujub?"

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada tujuh pintu-pintu iblis yang boleh memasuki hati-hati manusia. Kalian gantikan tujuh perkara tersebut dengan tujuh kebaikan iaitu redha dengan qadak dan qadar, menganggap dosa-dosa kecil seperti dosa-dosa besar, jauhkan daripada angan-angan kosong dengan merancang visi dan misi dalam hidup kalian, sentiasa menuntut ilmu yang bermandaat, merendahkan diri dan bersifat tawaduk, jauhkan diri daripada sifat marah dengan bertenang dan sabar, dan akhirnya hiasi akhlak kalian dengan sifat mahmudah iaitu bersifat tawaduk, rendah diri, ikhlas, berbaik sangka dan tidak ada hasad dengki sesama muslim.

Insya Allah jika kalian amalkan tujuh perkara-perkara yang baik ini kalian telah menutup pintu-pintu hasutan dan godaan iblis laknatullah kedalam hati-hati kalian. Waullahualam.





4 comments:

Anonymous said...

I just like the helpful info you provide for your articles.

I'll bookmark your blog and test again right here regularly. I'm somewhat
certain I'll be informed many new stuff proper here! Best of luck for the next!

Feel free to visit my web blog: wordpress installieren

Anonymous said...

You ought to take part in a contest for one of the best websites on the
internet. I will recommend this site!

Look at my blog post - ökostrom aktien

Anonymous said...

It's very simple to find out any topic on web as compared to books, as I found this paragraph at this web page.

Feel free to surf to my blog ... schnell wirkende diät

Anonymous said...

Excellent weblog right here! Also your web site so much up fast!
What host are you the use of? Can I am getting your associate hyperlink to your host?
I desire my web site loaded up as fast as yours lol

My blog post - sehr-gut