Saturday, February 11, 2012

Orang Mukmin Akan Meletakkan Harapan dan Pertolongan Hanya Kepada Allah SWT.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Jika engkau meminta maka mintalah kepada Allah dan jika engkau memohon pertolongan maka mohonlah pertolongan Kepada Allah." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, ia berkata hadis hasan sahih)

Huraiannya :

Imam Nawawi dan Al-Haitami telah memberikan penjelasan terhadap makna hadis ini, secara ringkas penjelasan tersebut sebagai berikut, "Jika engkau memohon pertolongan atas suatu urusan, baik urusan dunia maupun akhirat maka mohonlah pertolongan kepada Allah. Apalagi dalam urusan-urusan yang tidak seorang pun kuasa atasnya selain Allah. Seperti menyembuhkan penyakit, mencari rezeki dan petunjuk. Hal-hal tersebut merupakan perkara yang khusus Allah sendiri yang kuasa."

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman yang bermaksud :"Jika Allah menimpakan suatu kemudaratan kepadamu maka tidak ada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri." (Surah A1-An'am ayat 17)

Barangsiapa menginginkan hujjah atau dalil maka cukup baginya al-Quran, barangsiapa menginginkan sebarang pertolongan maka cukup baginya Allah SWT.  Allah SWT  berfirman yang bermaksud : "Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hambaNya?" (Surah Az-Zumar: ayat 36)

Sahabat yang dimuliakan,
Atha’ al-Khurasani berkata:”Saya berjumpa dengan Wahab bin Munabbih di satu jalan dan aku bertanya kepadanya: "Ceritakan kepadaku suatu hadis yang dapat ku ingat namun biarlah iaya cukup ringkas! Maka beliaupun berkata: "Allah SWT telah mewahyukan kepada Nabi Daud a.s sepertimana berikut:

'Wahai Daud! Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, tiada seorang hamba-Ku yang meminta kepada-Ku dengan bersungguh-sungguh dan Aku mengetahui niatnya, kemudian orang itu akan diperdaya oleh penduduk tujuh langit dan tujuh bumi melainkan pasti akan Aku selamatkan dan Aku hindarkan ia dari semua tipudaya itu.

Sebaliknya, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku tiada seorangpun yang berlindung dari halangan makhluk-Ku dan tidak kepada-Ku dan Aku mengetahui niatnya yang sedemikian rupa melainkan  Aku putuskan ia dari rahmat-Ku dan Aku longsorkan bumi di bawahnya dan tidak Aku hiraukan dalam lembah jurang mana ia akan binasa'.”

Oleh itu kalian semua perlulah berdoa dan memohon apa sahaja hajat dan keperluan kalian samaada untuk urusan dunia atau pun urusan  akhirat. Jangan lupa memohon dan mengharap kepada Allah SWT,  supaya Dia mengatasi ketentuan-ketentuan yang telah diturunkannya ke atas kalian.

Kalian boleh sahaja meminta bantuan kepada seseorang tentang apa sahaja sebagai ikhtiar dalam rangka perhubungan sesama manusia, asalkan hati kalian tidak lupa kepada Allah SWT.Sebab dengan kehendak-Nyalah maksud kalian  akan tercapai termasuklah penyelesaian terhadap sebarang musibah. Dan kejayaannya tersebut bukanlah kerana kepandaian manusia, tetapi disebabkan oleh kurnia dan izin Allah SWT semata-mata. Contoh kita minta tolong mekanik kereta baiki kereta kita yang rosak, tetapi perlu ingat dia tidak akan mampu menyiapkannya tanpa izin Allah SWT. Hanya Dia sahaja yang mengizinkan perkara tersebut disempurnakan oleh mekanik tersebut.

Sahabat yang dikasihi,
Meminta bantuan dan pertolongan manusia hanya sebagai ikhtiar dan usaha manusia, tidak lebih daripada itu kerana kepandaian dan hebatnya manusia tidak akan mampu mengubah dan mengatasi ketentuan takdir daripada Allah SWT.

Apa yang mesti kalian jauhi semasa meminta bantuan kepada manusia, hati kalian jangan lupa dan lalai kepada Allah SWT dan tidak bertawakkal kepada-Nya. Janganlah bergantung harapan kepada manusia, letaklah harapan, keyakinan dan kejayaan kepada Allah SWT. Barangsiapa yang mengharap kepada manusia dan putus hubungan hatinya kepada Allah SWT ini bererti tauhidnya itu sudah kabur, keyakinannya pun kepada Allah telah berkurang, dan ia termasuk di dalam golongan orang-orang yang rugi.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Ustaz.
Saya nak tanya.ada kawan saya pakai gelang magnet.dia kata sejak dia pakai gelang tu dia senang bangun pagi.bila saya kata tak boleh mcm tu sbb ianya syirik.tapi dia kata ini salah satu ikhtiar dia dan dia bertawakal pada Allah.Tapi saya rasa dia hanya perlu berdoa tanpa ada apa2 benda yg dipakai kalau betul dia bertawakal yg hanya Allah yg boleh menolongnya bangun pagi.Apa pendapat Ustaz?

abubasyer said...

waalikumusslam, bagi ustaz pakai gelang magnet itu samalah dia seperti pakai tangkal maknanya boleh tergugat akidah dan tawakkal kepada Allah SWT, lebih baik dia pakai jam locing dah pasti itu tak berlaku syirik dan sampai masa jam berapa di setkan jam tersebut akan berbunyi. Cara yg terbaik kita niat dan berdoa kepada Allah SWT nak bangun pukul berapa insya Allah tepat masa dia akan terjaga kerana disamping kita ada malaikat yg bersama kita, bila kita berdoa kepada Allah SWT, nanti Allah SWT sendiri arahkan maialikat unt menggerakkan kita ini adalah cara terbaik. Waullahualam.