Tuesday, December 4, 2012

Cara-cara Mengadakan Majlis Perkahwinan Mengikut Sunah Dan Ajaran Islam

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Mewujudkan sebuah perkahwinan adalah merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari agama Budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. 


Malahan sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala sosial yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan onani dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.

Program yang paling terpenting di dalam majlis perkahwinan adalah majlis akad nikah di antara dua mempelai lelaki dan perempuan. Setelah diijab kabulkan maka telah sahlah kedua pasangan tersebut menjadi suami-isteri yang halal. Terpikullah amanah besar ke atas kedua-dua pasangan tersebut, untuk melayari bahtera kehidupan berpandukan syariat Islam.

Biasanya selepas akad nikah kedua-dua pengantin akan mengadakan  majlis perkahwinan  atau disebut sebagai walimatul urus. Pada akhir-akhir ini di mana majlis-majlis perkahwinan rata-ratanya semakin meriah tetapi pelik yang dilengkapi dengan kepelbagaian acara. Malah, ia dijadikan sebagai sebuah kebanggan bagi sesebuah pasangan pengantin baru sekiranya mereka berupaya mengadakan majlis perkahwinan mereka secara besar-besaran dengan disertai pelbagai juadah makanan dan acara tertentu yang menarik perhatian.

Ini termasuklah pelbagai bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai rupa dan dimeriahkan lagi dengan upacara persandingan, muzik, tari-tarian dan nyanyi-nyanyian, upacara potong kek, adat menyarung cincin, dan seumpamanya. Bentuk upacara seperti ini kelihatannya begitu menyukarkan dan memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. 


Apakah ia merupakan sebuah tuntutan di dalam agama atau sebaliknya, atau bagaimana.?

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwnan yang benar-benar dianjurkan oleh syariat sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunah yang sahih? 


Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syariat dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya?

Di dalam nota ini diperjelaskan amalan sunah semasa dijalankan majlis walimatul urus dan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat yang menjadi amalan kebiasaan ketika mereka menjalankan majlis walimatul urus .
 

Kita rasa sedih apabila majlis yang mulia selepas diijab kabulkan mengharap rahmat dan kasih sayang Allah SWT tiba-tiba terdapat beberapa unsur "maksiat" dan mendapat kemurkaan Allah SWT. kerana di dalam majils tersebut terdapat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Terdapat beberapa garis panduan bentuk majlis perkahwinan (walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci lagi murni. Sekaligus melihat sejauh manakah majlis perkahwinan masyarakat kita ini yang sebenarnya telah banyak ditokok tambah dengan pelbagai bentuk perbuatan yang mungkar lagi bercanggah dengan syariat. Lebih parah, ia turut menyusahkan kebanyakan pasangan yang ingin membina mahligai rumahtangga mereka masing-masing kerana diikat dengan perkara-perkara seperti itu.

Dengan mengetahui yang mana yang realiti lagi sahih daripada sunah, maka seterusnya tiada masalah untuk kita membezakan di mana sebenarnya yang mungkar, yang ditokok tambah dan seterusnya kita berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan itu adalah sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang tidak disyariatkan (serta yang terlarang).

Definisi Walimatul urus.

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:

Al-Walimah ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta (majlis) pernikahan secara khusus. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 310, Pustaka Ibnu Katsir)


Walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan disebabkan berlangsungnya ikatan perkahwinan (pernikahan).

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, di mana beliau berkata:

“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, baginda mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1428)

Juga perkataan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam menikahi seorang perempuan, baginda mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3219)

Hukum Mengadakan Walimatul Urus

 
Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan:

“Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan (mandub).


Jumhur mengatakan hukumnya sunah berdasarkan pendapat Imam Asy-Syafi’i rahimahullah.” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Siapa Yang Mengadakan Walimah?

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menikahi seorang perempuan, baginda mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan:
 

Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”. 

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda: “Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah.

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)


Sebagaimana amalan masyarakat kita yang menjadi keutamaan adalah majlis perkahwinan di adakan pihak pengantin perempuan. Tidaklah menjadi kesalahan jika keluarga pengantin perempuan berhasrat untuk mengadakan majlis tersebut meraikan tetamu dan ahli keluarga pihak pengantin lelaki, tetapi perlu difahami bahawa keutamaan walimatul urus adalah dilakukan oleh pihak pengantin lelaki bukannya pengantin perempuan.


Waktu Walimah

 
Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i menjelaskan bahawa waktunya adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.

Ibnu as-Subki berkata: "Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin.


Perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, Darus Sunnah)

Amalan masyarakat kita selepas akad nikah belum boleh bersama sebagai suami-isteri selagi mana sebelum di adakah majlis walimahtul urus.

Jemputan Tetamu.


Walimatulurus yang diadakan hendaklah dijemput jiran tetangga yang terdekat tanpa mengira mereka itu kaya atau miskin, ada pertalian saudara atau tidak. Jemputan itu selaras dengan tujuan untuk merapatkan hubungan sesama jiran tetangga.

Penglibatan semua jiran dalam majlis walimatul urus diumpamakan seperti satu keluarga besar. Semua orang berhak bersyukur dan bergembira dengan terlaksananya perkahwinan tersebut.

Amalan menjemput hanya mereka dari kelompok yang setaraf yakni golongan kaya hanya menjemput golongan kaya, tidak mencapai matlamat mengapa majlis tersebut digalak diadakan. Majlis demikian akan menyuburkan lagi sikap mementingkan diri dan sombong di dalam masyarakat.

Sesungguhnya majlis walimatul urus yang diadakan golongan kaya yang tidak menjemput sama gologan orang miskin turut serta adalah majlis tidak diberkati.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis bermaksud: "Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis walimatul urus yang hanya dijemput orang kaya sahaja, orang fakir dan miskin tidak pula dijemput untuk makan bersama." (Hadis riwayat Bukhari).

Memberi sumbangan sampul surat berisi wang daripada tetamu kepada tuan rumah adalah budaya melayu , budaya ini tidak dilarang selagi pihak tuan rumah tidak mengharapkan balasan dan ikhlas menjemput tetamu datang kemajlis yang diadakan. Jika ada orang miskin datang kemajlis yang di adakan tetapi tidak mampu memberi sumbangan janganlah tuan rumah berasa kecil hati.

Mendoakan Pengantin Bila Berjumpa. 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

“ Semoga Allah SWT menghimpunkan yang terserak dari keduanya, memberkati mereka berdua dan semoga Allah SWT meningkatkan kualiti keturunan mereka, menjadikannya pembuka pintu-pintu rahmat, sumber ilmu dan hikmah serta pemberi rasa damai"
(Doa Nabi Muhammad SAW pada pernikahan puteri Baginda Fatimah Az-zahrah dengan Saidina Ali bin Abi Talib k.wj)

Hiburan Semasa Majlis Walimahtul Urus

Di majlis walimatul urus  biarlah hiburan yang sopan dan tidak melalaikan, umpamanya nanyian nasyid yang memuji kebesaran Allah SWT dan lagu-lagu selamat pengantin baru, doa kepada kedua pengantin baru dan bersyukur dengan terbinanya ikatan kedua keluarga  bahagia tidak di larang oleh Islam. 

Islam tidak sekali-kali menghalang umatnya untuk bergembira, selagi mana ia tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan syarak. Yang dilarang adalah mengadakan nyanyian karokea bercampur lelaki dan perempuan  tanpa batas dan diadakan  persembahan tarian dan muzik-muzik yang melalaikan.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa larangan semasa mengadakan majlis walimatul urus iaitu :
 

PERTAMA

Tidak melakukan persandingan duduk di atas pelamin, dengan di iringi upucara tepung tawar dan sebagainya. Bersamaan dengan adat agama hindu.

Firman Allah S.W.T (maksud): "..Janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau Saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah An-Nur ayat 31)


Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : "Setiap perempuan itu adalah aurat. Setiap kali ia keluar dari rumahnya maka syaitan akan memperhatikannya dan (syaitan) berkata: Sesungguhnya engkau tidak akan melalui seseorang melainkan akan memperdayakannya".
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
 

KEDUA

Tidak bercampur-aduk diantara lelaki dan perempuan.

Percampuran lelaki dan perempuan terdapat dua kategori , iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan syarak. Kategori yang di haruskan syarak adalah perhimpunan yang tidak berlaku pergeseran tubuh antara lelaki dan perempuan.


Jika boleh mempunyai dua kemah berasingan untuk tetamu lelaki dan wanita.

KETIGA 

 
Tidak Bermegah-megah, Bangga Diri Dan Sebagainya.


Menurut Imam al-Ghazali, seseorang yang terjebak bermegah-megah telah melakukan syirik kahfi terhadap Allah. Tidak akan masuk syurga jika ada sedikit kesombongan atau kemegahan dalam diri anak Adam.

KEEMPAT

Tidak Ada Sebarang Pembaziran (wang ringgit, makanan, masa dan lain-lain)

Pembaziran disini, kita boleh lihat dari pelbagai aspek yang jelas, terumatanya mereka yang mahu bersanding menyewa pakaian pengantin yang melangkaui keperluan, sewa set pelamin yang sememangnya tidak mendatang faedah, makanan yang tidak dihabiskan malah dibuang begitu sahaja, menghabiskan masa dengan sesi bergambar dan lain-lain lagi yang mana akhirnya menyebabkan terabainya perkara utama yang sepatutnya diutamakan.

Sepatutnya masa-masa ini diisi dan disempurnakan dengan perkara-perkara yang sepatutnya iaitu seperti melayani tetamu yang hadir, solat fardu dan sebagainya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Janganlah kamu membazir secara melampau."

(Surah al-Israk ayat 26)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan..." (Surah al-Israk ayat 27)

Dr. Zulkifli Al-Bakri menyebut dalam ceramahnya, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata : “Jinayah yang terbesar bagi umat Islam ialah membazir masa.”


KELIMA
 

Tidak Ada Ucapan-Ucapan atau Kata-Kata Yang Kurang Wajar atau Kurang Sopan Dari Yang Menyaksikan.

Ini termasuklah tidak menyuruh pasangan pengantin baru melakukan adegan-adegan yang tidak wajar dipertontonkan. Juga tiada umpan-umpatan atau membuka aib sesiapa sahaja.

Sabda Rasulullah S.A.W. (maksud) :“Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat"

(Ibnu Abib Dunya & Ibnu Hibban)

Sabda Rasulullah S.A.W. (maksud) :"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri." (Hadis Riwayat Abu Daud)

KEENAM

Tidak Melakukan Adegan-Adegan Suami Isteri

Kita lihat, zaman ICT sekarang ini pasangan pengantin tidak segan silu melakukan adegan-adegan yang tidak patut dipertontonkan dikhalayak umum seperti bercium (sama ada pipi / dahi), berpelukan ketika bergambar, dukung mendukung dan sebagainya. Sedangkan ini tidak diajar oleh Islam.

Malah tanpa sedari perbuatan ini telah meniru agama Kristian dan Yahudi.. Mereka menganggap remeh akan perkara ini malah mereka berfikiran, mereka bebas melakukan apa pun kerana bergelar Raja Sehari. Inilah perbuatan yang mencemarkan maruah diri sendiri dan juga maruah sebagai muslim.

Perlulah diingat, kemesraan suami isteri bukanlah untuk dipertontonkan malah pasangan suami isteri perlulah menjaga adab-adab dan berkelakuan sopan seperti bersifat malu, menghormati tetamu, ibubapa serta majlis dan sebagainya. Tambahan pula mereka baru sahaja mendirikan rumahtangga.


Saidina Umar al-Khattab r.a berkata, "Barangsiapa menempatkan dirinya di tempat yang dapat menimbulkan persangkaan, maka janganlah menyesal kalau orang menyangka buruk kepadanya."

KETUJUH

Tidak Tabarruj (Solekan-solekan) dan Tidak Menutup Aurat.

Definisi Tabarruj.

 
i) Memperlihatkan seseorang wanita itu akan kecantikannya yang wajib ditutup kepada lelaki yang bukan mahram kepadanya.

ii) Menampakkan wanita akan kecantikannya kepada lelaki yang bukan mahramnya. Iaitu menampakkan kecantikan dengan membuka dan mempamerkan keelokan bahagian-bahagian yang mengghairahkan seperti pinggul, lengan, betis, dada, leher dan wajah.

iii) Menampakkan kecantikan dan menonjolkan keelokan wajah dan tubuh badan dan fitnah kedua-duanya.

Sepertimana kata Imam Bukhari, tabarruj adalah mempertontonkan seseorang wanita akan kecantikannya .


Syeikh al-Maududi mengatakan bahawa: Jika kata tabarruj ditujukan kepada wanita,maka ia memiliki tiga pengertian seperti berikut:

i) Tindakan mendedahkan kecantikan wajahnya dan bahagian-bahagian tubuhnya yang mengundang berahi kepada kaum lelaki yang bukan mahramnya.

ii) Mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki-lelaki yang bukan mahramnya.

iii) Mendedahkan dirinya melalui cara berjalan, kegenitan dan juga kesombongannya kepada mereka .


Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya :“Dua golongan ahli neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang dipukul kepada manusia dan wanita yang berpakaian telanjang berjalan berlenggang-lenggok, sanggulnya seperti bonggol unta yang gila, mereka tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya, padahal bau syurga akan tercium dari jarak perjalanan sejauh sekian-sekian." Di dalam satu riwayat yang lain menyatakan," Bau syurga itu terciumsejauh lima ratus tahun perjalanan.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Libas wa al-Zinah, 3971)

Termasuk di dalam bab ini, pengantin-pengantin perempuan menjauhikan diri dari berhias dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam seperti menyambung rambut, menyambung bulu mata, maskara, mencukur / menipiskan kening, pakaian yang jarang hingga menampakkan bentuk badan, bersanggul rambut dan sebagainya.

Sabda Baginda S.A.W lagi (maksud) :"Rasulullah S.A.W melaknat perempuan-perempuan yang mencukur alisnya atau minta dicukurkan alisnya."(Hadis Riwayat Abu Daud, dengan sanad yang hasan. Demikian menurut apa yang tersebut dalam Fathul Baari)

KELAPAN
 

Tidak mengabaikan perkara-perkara fardhu seperti Solat 5 waktu dan lain-lain

Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab tidak sempat kerana sibuk dengan urusan keduniaan, malas  dengan kata lain meninggalkannya dengan sengaja sedangkan dia tahu akan kewajiban melaksanakan solat, maka dia telah melakukan dosa besar.


Lihat betapa besar hukum bagi seseorang meninggalkan solat dengan sengaja ini. Tambahan pula ketika mana kita melakukan Sunah Nabi S.A.W iaitu ketika majlis walimatul urus. Orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum melakukan dosa besar.

KESEMBILAN

Tidak melakukan perkara khurafat seperti merenjis beras kunyit atau air mawar yang kononnya membawa simbolik kehidupan dan  murah rezki.

Menepung tawar memang menyerupai amalan perkahwinan agama hindu. Di samping itu ia melibatkan unsur-unsur pembaziran. Menepung tawar memang menyerupai amalan perkahwinan agama hindu.

Penasihat PERKIM Cawangan Ampang juga merupakan Pegawai Dakwah dari Persatuan Islam Cina Malaysia menyatakan :

“Upacara menepung tawar bukanlah budaya orang hindu semata-mata tetapi upacara menepung tawar ini adalah upacara keagamaan hindu dimana mereka meminta, memohon, berdoa kepada tuhan-tuhan hindu iaitu ganeshan, murugan, parvhati untuk memberkati pengantin.”

Sesuai dengan Sabda Baginda Nabi SAW yang (maksud) :"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dikalangan mereka."(Hadis Riwayat Abu Dawud)


KESEPULUH

Tidak bersalam-salaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Perlu diingatkan sepupu dengan sepupu bukan mahram, suami kepada ibu saudara kita atau isteri kepada bapa saudara kita bukan mahram. 

Sahabat yang dikasihi,
Sebagai kesimpulan, cuba kita renung kembali sekiranya terdapat perkara-perkara mungkar seperti yang dinyatakan di atas di dalam majlis walimatul urus yang kita jalankan maka tinggalkanlah . Apalah maknanya majlis pernikahan kita, pernikahan yang mana jika dilakukan menyempurnakan sebahagian dari agama akhirnya dicemari dengan dosa-dosa sama ada kita sedari mahupun tidak, malah lebih hebat lagi ianya menyebabkan kita turut juga menanggung dosa-dosa mereka yang menghadirkan diri kerana berbuat mungkar, yang hakikatnya kita sendiri sebagai penganjur majlis tersebut.

Jangan kita salahkan orang lain, kenapa nanti rumahtangga kita porak-peranda, hidup tidak bahagia, isteri tidak mahu mendengar kata, suami  tidak bertoleransi, anak-anak yang degil atau keras kepala, benak hati, lembab fikiran dan sebagainya. Berpunca daripada pelanggaran batas-batas syarak semasa di adakan majlis walimatul urus hingga Allah SWT tidak memberkati dan meredhai majlis tersebut.

Yang paling penting, sedarlah kita bahawa Inilah akibat yang akan berlaku sekiranya tiada keberkatan di dalam kehidupan.

Jadi, Allah Ta’ala kurniakan kita akal yang waras maka pilihlah sama ada mahu pernikahan yang mana akan membentukkan sebuah keluarga yang diberkati ketika sebelumnya, semasa majlis dan sesudah majlis iaitu ketika melayari bahtera rumahtangga atau sebaliknya.. Pernikahan adalah permulaan untuk kita memasuki alam rumahtangga, maka jika permulaan mendapat keberkatan disisi Allah Ta’ala, in syaa Allah perjalanan seterusnya lebih mudah, diberkati serta dirahmati Allah S.W.T.

Ingatlah, untuk melahirkan zuriat yang cemerlang dunia dan akhirat mestilah bermula sebelum majlis pernikahan lagi. Wallahualam.

Wasalamualaikum.

7 comments:

nor suhaila Ismail said...

info yang sangat berguna.. terima kasih.. :)

Anonymous said...

lebih bagus buat point forms. Berjela ayat sgt tak menarik.

Anonymous said...

alhamdulillah..info yg sgt berguna...tp zaman skrg jarang mengikot sunnah...

ema lavida said...

terima kasih.... info yang sangat berguna untuk sy mempersiapkan majlis perkahwinan

ira sofea said...

In shaa Allah akan mengikut sunnah....ibu bapa perlu tahu dlm hal ini...didik anak2 mengikut sunnah....

Anonymous said...

Atau highlight point2 penting pun da cukup. Agar mnarik minat pmbaca & senang nak ingat point2 tu.. Wuallahualam..

Unknown said...

Alhamdulillah..syukrn atas infonya..sgt brguna:)