Monday, March 18, 2013

Tiga Amalan Berterusan Pahalanya Selepas Kematian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda (maksudnya) : "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadis Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Kita sering mendengar hadis di atas yang di bawakan oleh para pendakwah dan sebagainya. Persoalannya sekarang adakah kita benar-benar faham apa yang di maksudkan oleh hadis diatas?

Dalam hadis di atas menerangkan bahawa apabila telah meninggalnya seseorang manusia,tiada lah apa- apa yang dapat menolongnya kecuali tiga perkara iaitu.

1. Sedekah jariah yang di berikan semasa hidupnya.

2. Segala ilmu yang baik yang di ajarkan kepada orang semasa hidupnya.

3. Doa anak yang soleh terhadap ibubapanya yang di tingalkannya (di warisinya).

Huraiannya :

1.Sedekah Jariah.

Segala bentuk sedekah bahan yang dikeluarkan oleh si mati semasa hayatnya termasuklah sedekah wang,makanan,harta benda dan dalam katogeri ini termasuk juga harta yang di waqafkan oleh si mati semasa hidupnya. Sebagai contoh seseorang itu mendirikan surau untuk kegunaan masyarakat setempat. Selagi mana surau itu di menfaatkan selagi itulah pahala mengalir untuk si mati. Orang yang hidup atau waris boleh juga bersedekahkan bagi pihak si mati tidak kiralah samaada sedekah itu hasil dari wang,harta, peninggalan si mati atau wang waris sendiri.Yang pentingnya ialah niat kita untuk bersedekah bagi pihak si mati. Amalan "waqaf" dalam Islam juga telah bermula semenjak zaman Rasulullah SAW. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf "

 
2.Ilmu Yang Bermenfaat

"Ilmu yang berguna atau bermanfaat yang di ajarkan kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan ilmu ilmu kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya,pengajaran kepada murid-muridnya dan orang ramai,atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya.

Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.

 
3.Doa Anak Yang Soleh.

Selain dari doa anak anak yang soleh/solehah terhadap ibubapanya, doa antara sesama kaum muslimin pun bermenfaat untuk si mati. Ini berdasarkan kepada dalil berikut : Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu”. (Surah Al-Hasyr ayat 10).

Mengenai doa anak yang soleh/solehah In syaa Allah doa akan bermenfaat jika anak-anak itu bersolat dan beramal soleh. Kalau tidak  solat dan sentiasa melakukan dosa-dosa besar pasti doa itu tidak akan diterima oleh Allah SWT, tidak diterima segala amal kebaikan jika tidak bersolat termasuklah doa. Jadi usahakanlah supaya anak anak kita terdiri dari golongan orang orang yang mengerjakan solat.

Sahabat yang dimuliakan,
Selain daripada tiga perkara di atas terdapat beberapa amalan anak yang soleh untuk kebaikankan ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

1. Membayar hutang puasa si mati.

Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi Muhammad SAW. lalu berkata: "Ya Rasulullah, ibu saya telah mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) selama sebulan, bolehkah saya mengqada puasanya itu?"

Baginda menjawab: "Boleh, (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang (manusia kepada) Allah lebih berhak diselesaikan." (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini mengatakan bahawa orang mati yang menanggung hutang puasa yang wajib (sama ada puasa Ramadan atau pun puasa nazar atau puasa kifarah), boleh dibayar oleh orang yang termasuk dalam lingkungan kaum kerabatnya - dengan jalan berpuasa untuknya.

Dalam hal ini Imam Nawawi rahimahullah berkata: Imam al-Syafi'i rahimahullah, mempunyai "dua pendapat" dalam masalah ini:

Pertama - Hutang puasa si mati hendaklah dibayar dengan "fidyah" sahaja.

Kedua - Boleh juga dibayar dengan jalan berpuasa untuknya.

Berdasarkan keterangan yang tersebut, maka kesimpulan masalah ini dalam mazhab Syafi'i ialah: Menurut "pendapat" yang pertama: Hutang puasa si mati , hendaklah di bayar dengan "fidyah" sahaja oleh walinya.

Menurut "pendapat" yang kedua pula : Pihak walinya bebas memilih, sama ada dengan memberi fidyah atau dengan berpuasa untuknya.

Salah satu hadis yang lain juga: Dari `Aisyah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) hendaklah walinya (membayar dengan) berpuasa untuknya". (HadiS Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Melangsaikan hutang harta si mati

Kita juga boleh membantu si mati dengan cara melangsaikan hutang harta si mati. Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kebolehan tersebut. Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan akan kebolehan dan kewajipan melunaskan hutang si mati.

Antaranya:Dari Ibn Abbas r.a., bahawa: .. Rasulullah SAW bersabda: ".. (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3.Amalan baik anak anak sendiri

Di dalam Al-Quran, Surah An-Najm ayat 39, Allah telah berfirman yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya."

Terang di dalam ayat di atas mengatakan bahawa usaha seseorang akan di bawa ketika telah mati. Zuriat yang di tinggalkan adalah hasil usaha si mati sendiri semasa hidupnya. Jadi bagaimana pula ayat di atas dapat menjadi dalil yang membolehkan amalan baik anak itu sampai kepada si mati? Persoalan ini terjawab dengan hadis sahih di bawah:

"Sesungguhnya makanan yang paling baik untuk di makan oleh seseorang ialah hasil titik peluhnya sendiri. Dan sesungguhnya anak adalah sebahagian daripada hasil usaha kita sendiri." (Hadis sahih Riwayat Al-Hakim, Imam At-Turmudzi, Imam Ahmad, Abu Daud An-Nasai)

Di dalam hadis yang lain:

Hadis dari  Aisyah r.a:  "Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah SAW bersabda: Benar!"(Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulanya di sini jika si mati mewarisi anak yang soleh/ solehah maka si mati akan mendapat pahala hasil dari kebaikan dan kosolehan anak anaknya itu,tetapi jika anak anaknya tidak soleh/solehah si mati akan mendapat kesusahan di alam kubur.

4. Anak boleh meninggalkan buku-buku atau kitab-kitab agama yang bermanfaat untuk di gunakan oleh ahli keluarga sendiri , sekolah-sekolah agama dan untuk bacaan umum niatkan untuk kedua ibu bapanya.


Salah satu waqaf yang bermanfaat adalah kitab suci al-Quran, kitab hadis, kitab tafsir dan buku-buku dan kitab-kitab agama yang ditinggalkan oleh seseorang . Apabila bahan-bahan tersebut di baca dan di amalkan maka pemilik asal kitab atau buku tersebut akan mendapat pahala yang berterusan walau pun beliau sudah meninggal dunia.

1 comment:

Anonymous said...

saya mohon gunakan isi blog ini untuk dikongsi dgn sahabat lain