Monday, March 21, 2011

Dirikan Iman itu di Atas Empat Tiang iaitu Yakin, Sabar. Jihad dan Adil.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Iman ialah asas penting, yang menjadi tapak tempat berdirinya peribadi mukmin. Kalau manusia diibaratkan seperti sepohon pokok, maka iman ialah akar tunjang bagi pokok itu. Kalau pula manusia diibaratkan seperti sebuah rumah, maka iman ialah tapak di mana
terdirinya rumah itu.

Demikianlah pentingnya iman dalam usaha melahirkan seorang manusia yang sempurna lagi diredai Allah SWT. Tanpa iman, seseorang itu akan sama seperti pokok yang tidak berakar tunjang atau rumah yang ketiadaan "foundation". Maknanya, seseorang yang tiada iman tidak akan ada kekuatan untuk berdepan dengan hidup. Dia pasti gagal.

Kalaupun ada tanda-tanda Islam melalui ibadah lahir, tetapi ibadah itu tidak akan berfungsi apa-apa sewaktu manusia yang tiada iman berdepan dengan persoalan-persoalan hidup. Lagi banyak ibadah, lagi cepat gagalnya, sepertilah lagi besar pokok yang tidak berakar tunjang, lagi cepatlah tumbangnya atau lagi besar rumah yang didirikan di atas lumpur, lagi cepatlah robohnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Orang yang kuat iman walau sehebat mana pun ujian ia tetap yakin, tenang, sabar ,reda, bersikap adil dan sentiasa berjihad dijalan Allah S.W.T. Tidak terlintas sedikit pun dihatinya untuk melanggar syariat dan meninggalkan perjuangan dan jemaah Islamiah.Islam dapat tegak dan kekal dalam peribadi atau masyarakat  manusia hanya kerana ada dan kuatnya iman. Tanpa iman yang kuat, Islam hanyalah satu simbol lahiriah yang diamalkan sebagai satu amalan tradisi dan kebiasaan semata-mata. Sebaliknya iman yang kuat akan menghasilkan peribadi yang benar-benar kuat dan Islamik.

Islam ialah amalan lahir. Iman ialah amalan hati (batin). Kalau iman kuat, Islam pasti kuat. Tetapi kalau Islam yang kuat belum tentu imannya kuat. Ini mesti diperhatikan betul-betul. Jangan kita jadi orang yang kuat beramal sahaja tetapi lemah imannya, sebaliknya jadilah orang yang kuat beriman dan kuat beramal. Allah menjanjikan keuntungan itu hanya tertentu bagi orang-orang yang beriman dan beramal. Firman Allah SWT maksudnya : "Demi masa, sesungguhnya manusia itu semuanya berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh". (Surah al-Asr ayat 1-3)

Allah menyebutkan iman itu dahulu, sebagai syarat bahawa amalan yang didahului atau didorong oleh iman sahaja yang akan dinilai. Rasulullah S.A.W.  turut mengingatkan ini dengan sabda baginda maksudnya : "Allah tidak melihat kepada rupamu dan hartamu (gambaran lahir) tetapi Dia melihat hati kamu dan amalan kamu."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Sayidina Ali k.wjh pernah berkata yang maksudnya: "Didirikan Iman itu di atas empat tiang. Petama ialah yakin,  kedua ialah sabar di atas segala ujian, yang ketiga jihad dan yang keempat adil."

Iman itu di dirikan di atas empat tiang iaitu :

Pertama : Yakin

Darisegi bahasa iman itu percaya dan yakin di dalam hati. Tanpa ada kepercayaan dan keyakinan maka seseorang itu belum lagi  beriman.

Darisegi istilah pula iman itu adalah membenarkan di hati, mengaku dengan lidah dan beramal dengan perbuatan.

Seorang yang beriman akan percaya dan yakin dengan 6 Rukun Iman iaitu :
(1) Beriman kepada ALLAH SWT
(2) Beriman kepada Malaikat-malaikat
(3) Beriman kepada Kitab-kitab
(4) Beriman kepada Rasul-rasul
(5) Beriman kepada Hari Kiamat
(6) Beriman kepada Qadak dan Qadar

Kedua : Sabar

Iman tidak boleh dipisahkan dengan sifat sabar, orang yang beriman akan bersabar dengan dugaan dan ujian daripada Allah S.W.T. kerana hanya orang yang tidak beriman akan berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman, maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Contoh yang berlaku dalam sirah para Rasul, Nabi Ayub a.s. walaupun diuji dangan begitu hebat sekali, baginda masih tetap percaya Allah S.W.T ada menyelitkan hikmah disebalik kedukaan ujian yang melandanya. Akhirnya dengan sifat kesempurnaan Allah  S.W.T, segala ujian yang diberikan digantikan semula dengan kegembiraan dan Nabi Ayub a.s. dinaikkan darjat sebagai orang yang bersabar di atas ujian yang menimpa dirinya.

Ketiga : Berjihad

Orang yang beriman tidak akan meninggalkan berjihad dijalan Allah S.W.T. kerana amanah berjihad adalah suatu yang difardukan oleh Allah S.W.T kepada orang-orang yang beriman.

Inilah kelebihan yang diberikan kepada orang yang berjihad. Allah juga berfirman yang bermaksud : "Allah memberi kelebihan kepada orang yang berjihad mengatasi orang yang berdiam diri tanpa berbuat apa-apa (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu keuzuran) dengan pahala yang amat besar. "Iaitu beberapa darjat (kelebihan) daripadanya dan keampunan serta rahmat belas kasihan dan (ingatlah) adalah Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani." m(Surah an-Nisa' ayat 95-96)

Perbezaan antara satu darjat dengan satu darjat yang lain itu ialah antara bumi dan langit. Allah juga berjanji memberi pahala yang sangat besar kerana orang yang berjihad kadang kala teringat kepada anak, isteri, keluarga dan harta sehingga menekan perasaannya di samping menghadapi musuh-musuh yang sentiasa mencari peluang untuk melakukan apa sahaja kepadanya.

Keempat : Adil

Takrif adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Orang yang beriman akan melakukan keadilan kerana sikap adil adalah suatu perintah Allah S.W.T. kerana berlawanan dengan sikap adil adalah zalim.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Wahai orang yang beriman! Jadilah kamu orang yang menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil, dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Tegakkanlah keadilan, itulah yang lebih hampir dengan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah al-Khabir (Maha Mengenal) terhadap apa yang kamu lakukan."
(Surah al-Maidah ayat 8)

Dalam ayat di atas Allah S.W.T. menyeru kepada orang-orang beriman supaya sentiasa berlaku adil di dalam menegakkan kebenaran. Kerana sikap adil adalah paling hampir dengan sifat takwa.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbaiki iman kita dan dirikanlah iman kita dengan empat perkara pokok iaitu yakin, sabar, berjihad dan berlaku adil. Jika empat ciri-ciri ini ada pada diri kita ini bermakna kita mempunyai asas iman yang kukuh dan akan tertegaklah Islam pada diri kita dan di dalam masyarakat kita insya Allah.

No comments: