Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Takwa, terselit di dalamnya makna ketakutan, kerendahan diri, kekerdilan kita sebagai hamba Allah SWT. Sebab itu, timbulnya pengharapan apabila kita bertakwa. Kita rasa sempit, tiada nafas, tiada rezeki, sebab semuanya milik Allah, kita takut Allah tidak menghiraukan kita, maka kita berharap kepada-Nya. Kita takut, Allah lempar kita ke neraka dan memalingkan wajah-Nya daripada kita, maka kita berharap agar Allah memasukkan kita ke dalam syurganya. Kita takut, menyebabkan kita berhati-hati dengan kemarahan-Nya. Itulah makna takwa.
Para ulama telah menjelaskan apa yg dimaksud dengan takwa. Di antaranya Imam ar-Raghib al-Ashfahani mendefinisikan : “Takwa iaitu menjaga jiwa dari perbuatan yang membuatnya berdosa dan itu dengan meninggalkan apa yg dilarang menjadi sempurna dengan meninggalkan sebagian yg dihalalkan.”
Imam an-Nawawi mendefinisikan takwa : “Menaati perintah dan larangan-Nya.” Maksudnya menjaga diri dari kemurkaan dan azab Allah.
Al-Hafizh Ibnu Katsir dalam tafsirnya mengatakan : “Maknanya barangsiapa yang bertakwa kepada Allah dengan melakukan apa yg diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yg dilarang-Nya niscaya Allah akan memberinya jalan keluar serta rezeki dari arah yg tidak disangka-sangka yakni dari arah yg tidak pernah terlintas dalam benaknya.”
Seorang ulama tafsir yang bernama Al-Kalbi membahagikan takwa kepada lima tingkatan iaitu :
Pertama : Takut kepada kufur, ini merupakan maqam Islam.
Kedua : Takut melakukan maksiat, ini adalah maqam taubat.
Ketiga : Takut melakukan hal yang syubhah, ini merupakan maqam wara'.
Keempat : Takut melakukan yang harus, ini maqam zuhud.
Kelima : Takut jika terfikir selain Allah. Ini merupakan maqam ihsan orang yang sampai kepada tahap musyahadah (Ihsan yang tertinggi)
Huraian kelima-lima tingkatan ini adalah seperti berikut :
Pertama : Takut kepada kufur, ini merupakan maqam Islam.
Untuk menjadi seorang muslim tahap paling mimima adalah akidahnya mesti bersih daripada syirik kepada Allah S.W.T. Darisegi keyakinan dan iktiqadnya tidak sedikit pun ada kecacatannya. Percaya dan beriman kepada rukun Iman yang enam iaitu beriman kepada Allah S.W.T., beriman kepada malaikat-malaikat, beriman kepada kitab-kitab, beriman kepada rasul-rasul, beriman kepada hari kiamat dan beriman kepada qadak dan qadar
Dosa yang paling besar adalah dosa syirik. Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah an-Nisa’ ayat 116)
Berdasarkan zahir ayat ini ramai yang berfahaman bahawa Allah tidak mangampunkan dosa orang yang berbuat syirik kepadanya. Ditambah pula dengan tafsiran Ibnu Kathir, beliau mengatakan ,
"Allah Taala mengkhabarkan bahawa dia tidak akan mengampunkan dosa jika disekutukan dengan sesuatu, iaitu jika hamba itu mati dalam keadaan menyengutukannya dan dia boleh ampun dosa selain dari syirik itu bagi sesiapa yang dia kehendaki, dari kalangan hambanya."
Oleh itu untuk mencapai tahap maqam Islam (maqam yang paling rendah) mestilah kita bebas daripada kufur atau syirik kepada Allah S.W.T.
Kedua : Takut melakukan maksiat, ini adalah maqam taubat.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)
Rasulullah S.A.W. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."
Dari hadis yang lain Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Setiap orang mukmin tetap akan mendatangi dosa dari masa ke semasa."
Oleh yang demikian kita perlu selalu dan segera bertaubat. Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah. Meninggalkan dosa, menyesali yang sudah terlanjur dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan kebaikan. Ia adalah proses pembersihan dari kekotoran. Orang yang bertaubat bersih dari segala dosa.
Oleh itu untuk mendapat maqam taubat hati dan jiwa kita perlu benci dan takut untuk melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.
Ketiga : Takut melakukan hal yang syubhah, ini merupakan maqam wara'.
Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesungguhnya yang halal dan yang haram itu jelas. Dan di antara keduanya banyak hal-hal syubhat yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga diri dari hal-hal yang syubhat maka ia telah membersihkan agama dan kehormatannya."(Hadis Riwayat Bukhari)
Dan barangsiapa yang bertindak berani di tempat-tempat yang diragukan, niscaya bertambahlah keberaniannya terhadap sesuatu yang lebih berat, Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Dan sesungguhnya orang yang bercampur keraguan, hampir-hampir ia berani (kepada yang diharamkan)."(Hadis Riwayat Abu Daud)
Maka wara' yang sebenarnya adalah seperti yang digambarkan oleh Yunus bin 'Ubaid rahimahullah: iaitu keluar dari semua yang syubhat dan muhasabah (koreksi) terhadap diri sendiri di setiap saat dan masa.
(Tahdzib Madarijus Salikin, hal. 290.)
Sesungguhnya orang yang mengenal Rabb-nya dan menempatkan-Nya sebagaimana mestinya, mengagungkan larangan dan syi'ar-syi'ar-Nya, akan melakukan pengagungan sampai kepada sikap hati-hati dari setiap perkara yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah S.W.T. di dunia maupun di akhirat. Mukmin yang bersifat wara' sentiasa takut kepada Allah S.W.T. dan dia akan meninggalkan banyak hal yang dibolehkan, jika hal itu menjadi samar atasnya bersama yang halal agar tidak merugikan agamanya.
Oleh itu untuk mencapai maqam wara' kita perlulah meninggalkan perkara yang makruh, perkara yang meragukan dan syubhah .
Keempat : Takut melakukan yang harus, ini maqam zuhud.
Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A'laa ayat 16 dan 17 , yang mana Allah S.W.T. menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.
Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”
(Surah Al-A’laa ayat 16-17)
Ibnu al-Qayyim mengatakan bahwa zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat demi kehidupan akhirat.
Al-Imam Hasan Al-Bashri menyatakan bahwa zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, akan tetapi zuhud di dunia adalah engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu. Keadaanmu antara ketika tertimpa musibah dan tidak adalah sama saja, sebagaimana sama saja di matamu antara orang yang memujimu dengan yang mencelamu dalam kebenaran.
Golongan yang zuhud ini terdapat satu hadis dari Nabi S.A.W. Baginda berkata dalam wasiatnya kepada Abu Hurairah, "Wahai Abu Hurairah! Hendaklah engkau mengikut jalan suatu kaum. Jika manusia lain merasa takut, mereka tidak takut. Jika manusia mencari keselamatan dari api Neraka, mereka tidak takut."
Abu Hurairah bertanya, "Siapakah mereka itu? Terangkan dan jelaskan mereka itu padaku hingga aku dapat mengenalinya."
Baginda menjawab, "Suatu kaum dari umatku di akhir zaman. Mereka berkumpul pada hari kiamat di tempat berkumpulnya para Nabi. Jika manusia memandang mereka, manusia mengira bahawa mereka adalah para Nabi dari keadaan yang mereka lihat hinggalah aku beritahukan kepada mereka nanti. Aku katakan, "Umatku, umatku." Maka para makhluk mengetahui bahawa mereka bukanlah para Nabi. Mereka berlalu seperti kilat dan angin. Pandangan mata yang hadir kagum dengan cahaya mereka."
Abu Hurairah berkata, "Wahai Rasulullah, kemukakan padaku apakah amalan mereka. Mudah-mudahan aku dapat mengikuti mereka."
Rasulullah S.A.W. menjawab, "Wahai Abu Hurairah, kaum itu menempuh jalan sukar hingga sampai pada tingkatan para Nabi. Mereka memilih lapar setelah Allah memberikan (peluang) kepada mereka untuk (sentiasa) kenyang, memilih pakaian kasar setelah Allah memberi mereka pilihan berbagai pakaian, dan memilih haus setelah Allah memberi mereka rasa puas.
"Mereka meninggalkan itu semua (yang harus) kerana mengharap apa yang ada di sisi Allah (reda dan nikmat syurga). Mereka tinggalkan yang halal kerana takut banyak dihisab. Mereka mempergauli manusia dengan badan-badan (lahir) mereka, tetapi itu tidak menyibukkan (hati) diri mereka (daripada mengingati Tuhan mereka). Para Nabi dan malaikat takjub dengan ketaatan mereka kepada Tuhan. Kebahagiaan bagi mereka! Kebahagiaan bagi mereka! Aku ingin agar Allah mengumpulkan aku bersama mereka."
Kemudian Rasulullah S.A.W. menangis kerana rindu kepada mereka. Lalu baginda berkata, "Jika Allah hendak mengazab penghuni bumi lalu memandang mereka, maka Dia berpaling dan tidak jadi menurunkan azab. Barangsiapa berpaling dari jalan mereka, maka ia akan terbeban kerana kerasnya azab."
Oleh itu untuk mencapai maqam zuhud kita perlulah meninggalkan yang harus untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Kelima : Takut jika terfikir selain Allah. Ini merupakan maqam ihsan orang yang sampai kepada tahap musyahadah (Ihsan yang tertinggi)
Dalam satu hadis yang panjang malaikat Jibril (berupa seorang lelaki) datang berjumpa Nabi S.A.W. Kemudian dia (lelaki itu) bertanya lagi,”Sekarang terangkan padaku, apa itu Iman?” Nabi S.A.W. menjawab,”Iman ialah hendaknya kamu percaya kepada Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya, dan hendaknya kamu mempercayai qadak dan qadar yang baik dan yang buruk dariNya.” Dia berkata,”Kamu benar.”
Kemudian dia bertanya lagi,:Dan terangkan kepadaku, apakah Ihsan?” Nabi menjawab,”Ihsan ialah hendaknya kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat Dia dan sekiranya kamu merasa tidak melihatNya, maka yakinlah kamu bahwasanya Dia melihat kamu.”
Tahap ihsan adalah tahap yang tinggi iaitu apabila menyembah Allah S.W.T. seolah-olah melihat-Nya. Dalam hatinya tidak ada kebesaran makhluk. Semua yang ada di dunia ini dianggapnya kecil belaka dan dia tidak akan takut sesiapa melainkan takut kepada Allah S.W.T. Dia tidak mengharap pada makhluk dan pergantungannya sepenuhnya kepada Tuhan semesta alam. Hati dan jiwanya merindui untuk bertemu Allah S.W.T.
Maqam ini adalah tertinggi. Maqam ini digelar sebagai "baqa billah", Kamil Mukamil", Al Insan kamil kerana ia dapat menghimpunkan antara zahir dan batin, yakni ruh dan hatinya kekal kepada Allah tetapi zahir tubuh kasarnya tetap dengan manusia.
Hati mereka kekal dengan Allah tak kira masa dan tempat, tidur atau jaga sentiasa mereka bermusyahadah kepada Allah. Ini adalah maqam khawas al khawas. Semua gerak geri mereka sudah jadi ibadat. Hatta ketika makan, minum dan tidur mereka dan sebagainya.
Ilmu mereka adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam Ghazali, ilham dan ilmu mukasyafah yang diterima nya tidak bukan adalah sama dengan istilah wahyu semuanya datang terus dari Allah. Cuma kalau Rasul dan Nabi di panggil wahyu dan manusia biasa yang kamil di panggil ilham
Oleh itu untuk mencapai maqam ihsan (tertinggi) hingga ketahap musyahadah kita perlu melalui maqam pertama, kedua, ketiga dan keempat. Maqam ini adalah maqam para sahabat, para syuhada , para wali Allah dan mereka yang paling hampir dengan Allah S.W.T.
Sahabat yang dimuliakan,
Syurga yang diciptakan oleh Allah S.W.T. bertingkat-tingkat. Dalam hadis ada mengatakan syurga mempunyai 100 tingkat.
Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Syurga terdiri dari 100 tingkat, jarak antara 1 tingkat dan tinggkat berikutnya seperti jarak antara bumi dan langit."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)"
Syurga yang paling tinggi adalah Syurga Firdaus. Tahap dan kedudukan seorang mukmin yang dimasukkan kedalam syurga adalah bergantung di tahap mana takwa mereka ketika di dunia. Jika takwanya berada diperingat paling bawah maka syurga yang dia di benarkan masuk adalah tahap yang paling rendah. Sebaliknya jika tahap takwanya di dunia berada ditahap sederhana atau tinggi maka begitulah nanti tingkat syurga yang akan dia kecapi.
Syurga adalah tempat yang paling baik disediakan oleh Allah S.W.T. untuk hamba-hamba-Nya yang bertakwa ketika di dunia melaksanakan kerja-kerja dakwah, berjihad dan melaksanakan amanah yang di wajibkan kepadanya.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”.
( Surah Ali Imran ayat 133 )
Oleh itu kita perlulah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan berusaha untuk mencapai tahap takwa yang paling tinggi semoga mendapat menempatkan diri kita di Syurga Firdaus iaitu syurga yang paling tinggi di hari akhirat.
Oleh itu kita perlulah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan berusaha untuk mencapai tahap takwa yang paling tinggi semoga mendapat menempatkan diri kita di Syurga Firdaus iaitu syurga yang paling tinggi di hari akhirat.
No comments:
Post a Comment