Saturday, March 26, 2011

Jauhilah Enam Penyakit Umat-umat Yang Terdahulu

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah medan ujian yang disediakan oleh Allah S.W.T. siapa di antara kita yang mampu istiqamah dengan cara hidup Islam. Ada dikalangan umat Islam yang hidupnya hanyalah memuaskan hawa nafsu, ajaran Islam ditinggalkan dan dia hanyut dibawa arus jahiliah. Ada pula mengambil Islam dalam bentuk ibadah khusus semata-mata semata-mata sedangkan hubungan sesama manusia yang melibatkan pergaulan, cara berpakaian, perniagaan dan muamalah jauh daripada syariat Islam. Tidak kurang ramai yang mengambil Islam semasa pernikahan dan kematian saja sedangkan dalam kehidupannya sehari-hari cara berpolitik, mentadbir negara terlalu jauh dengan akhlak dan hukum-hukum Islam. Akibatnya Islam hanya tinggal nama saja sedangkan syariatnya tidak lahir dalam kehidupan umat Islam.

Terlalu banyak penyakit-penyakit umat Islam hari ini, menyerupai penyakit-penyakit umat terdahulu yang dibinasalkan oleh Allah S.W.T. kerana keingkaran mereka mematuhi ajaran yang di bawa oleh rasul-rasul mereka.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah S.A.W.. bersabda maksudnya :  "Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi S.A.W.  menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah :

1. Terlalu banyak seronok,

2. Terlalu mewah,

3. Menghimpun harta sebanyak mungkin,

4. Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia,

5. Saling memarahi,

6. Hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim".

(Hadis Riwayat Hakim)

Huraiannya 6 penyakit tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Terlalu banyak berseronok.

Orang yang sedang leka dengan keseronokan dunia adalah orang yang lalai dan tidak pernah terlintas tentang kematian. Baginya mati itu tidak perlu difikirkan kerana dia akan pergunakan sesempatan di dunia ini untuk berhibur , bergaul bebas antara lelaki dan wanita, menyanyi, bergelak ketawa dan memuaskan nafsunya semata-mata.

Sekali Rasulullah S.A.W. masuk ke tempat sembahyang (musolla) dan baginda melihat beberapa orang sedang bergelak ketawa atau berbual kosong.

Lalu baginda bersabda yang bermaksud :
"Kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan segala kelazatan hidup, niscaya kamu akan menjadi sibuk (tekun beribadat) sepertimana aku melihat kematian."

"Oleh itu perbanyakkanlah mengingati mati kerana tidak berlalu satu hari melainkan kubur akan berkata, 'aku rumah kesepian, aku rumah keseorangan, aku rumah tanah dan aku rumah ulat dan cacing."

Keseronokan juga disebabkan mendapat kedudukan dan menjadi pemimpin dalam masyarakat, dia  disanjung dan dipuja, dihormati dan ramai pengikut. Seronok kerana semua kehendaknya dipenuhi dan mampu menjatuhkan orang lain yang tidak disukainya.

Kedua : Terlalu mewah.

Rezeki yang kita miliki hasil usaha kita sebenarnya bukan semua adalah hak kita. Oleh itu Islam mewajibkan zakat dan mengalakkan bersedekah dan membantu orang fakir-miskin. Sikap suka bermewah-mewah dan membazir bukannya lahir daripada akhlak Islam tetapi ianya adalah lahir daripada hasutan syaitan. Islam menyuruh umatnya hidup sederhana, tidak membazir dan banyak memberikan sumbangan harta dijalan Allah S.W.T.

Sikap suka bermewah dengan makanan dan pakaian, perhiasan rumah, kereta mewah dan berbangga dengan harta yang dimiliki akan menimbulkan perasaan riak dan sombong dan sifat ini amat dibenci oleh Allah S.W.T. Contoh yang diceritakan dalam al-Quran adalah kisah Qarun.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
"Barang siapa bertawaduk kerana Allah, maka akan diangkat darjatnya oleh Allah, barang siapa yang sombong, maka akan dijatuhkan darjatnya oleh Allah, barang siapa bersikap bersederhana (tidak boros dan tidak pula kikir), maka akan dijadikan kaya oleh Allah, barang siapa membazir, maka akan dijadikan miskin oleh Allah dan barang siapa memperbanyak ingatan kepada Allah, maka dicintai oleh Allah."

Ketiga : Menghimpun harta sebanyak mungkin

Islam mengalakkan umatnya mencari harta kekayaan dengan cara yang halal supaya dengan harta itu akan menjadikan umat Islam mempunyai kekuatan ekonomi dan umat Islam tidak mudah dipandang hina oleh orang bukan Islam. Tetapi Islam meletakkan harta bukannya sebagai matlamat tetapi ianya hanyalah sebagai alat saja untuk kebaikan Islam. Tetapi sekiranya seorang itu bekerja siang malam, mengumpulkan harta tanpa memperdulikan  ibadah kepada Allah, melupakan menuntut ilmu, tidak ada masa untuk mendidik ahli keluarga, kerja-kerja kebajikan dalam masyarakat diabaikan, maka Islam melarangnya. Terutama apabila harta yang diperolehi dengan cara haram seperti mengambil rasuah, bermain judi, menipu dalam perniagaan dan sebagainya.

Rasulullah S.A.W  bersabda maksudnya : "Barang siapa yang mendapat harta dengan jalan haram, kemudian ia menyambung silaturahim dengan harta itu, atau bersedekah dengannya, atau menginfakkan di jalan Allah, di hari kiamat nanti ia dan seluruh harta itu akan dikumpulkan dan dilemparkan ke dalam api neraka."

Sungguh hadis itu memberi isyarat bahawa harta haram itu tidak boleh memberikan manfaat apapun bagi yang membelanjakannya. Bahkan ia diancam dengan api neraka.

Keempat : Tipu menipu dalam dalam merebut harta benda dunia.

Islam melarang umatnya menipu dalam perniagaan hinggakan kita mengambil harta orang lain secara tidak sah dan besar dosanya disis Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat 188)  

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah S.W.T. akan mengalungi tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi."

Kelima : Saling memarahi.

Islam melarang pergaduhan, maki hamun , permusuhan dan saling memarahi. Sifat suka marah adalah sifat yang disukai oleh syaitan. Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsunya.

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi S.A.W. "Berilah aku wasiat?."

Nabi S.A.W. bersabda: : "Janganlah engkau marah"

Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi S.A.W. bersabda : " Janganlah engkau marah"

(Hadis Riwayat. Bukhari).

Mengelak rasa marah adalah sepanjang waktu perlu mengawal emosi supaya tidak lekas marah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang cepat marah dan suka marah.

Perlu diingat, marah itu bara api syaitan yang menjunam ke dalam hati manusia dan syaitan itu adalah musuh manusia nombor satu. Jauhkan diri kita daripada sifat marah.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menahan kemarahannya dan dapat melaksanakannya, niscaya Allah akan memanggilnya di hadapan manusia ramai dan menyuruhnya memilih di antara bidadari yang dikehendakinya.”

Keenam : Hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim

Abul Laits Assamarqandi r.a. meriwayatkan dengan sanadnya dari Alhasan berkata Nabi Muhammad S.A.W. bersabda maksudnya : "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagai mana api makan kayu."

Ibrahim bin Aliyah dari Abbad bin Ishaq dari Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad S.A.W. bersabda maksudnya : "Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorangpun iaitu:   1. Buruk sangka 2.  Hasad dengki 3. Takut sial kerana sesuatu

Lalu ditanya: "Ya Rasulullah, bagaimana untuk selamat dari semua itu?" Jawab Nabi S.A.W: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut dari sesuatu maka hadapilah (jangan tinggalkan)." Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kau lahirkan dalam amal perbuatanmu sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah S.W.T. maafkan selama belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika buruk sangka maka jangan kau buktikan, jangan berusaha menyelidiki mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was atau takut dalam hati maka teruskan hajatmu dan jangan tinggalkan."

Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah!

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berazam untuk menjauhi enam penyakit umat-umat yang terdahulu yang mana penyakit tersebut menyebabkan mereka ditimpa bala dan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. Bila kita kembali mengambil al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W dan mengambil contoh akhlak Rasulullah S.A.W. maka kita akan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

No comments: